اَرِحْ نَفْسَكَ مِنَ التَّدْبِيْرِ فَمَا
قَامَ بِهِ غَيْرُكَ لَاتَقُمْ بِهِ لِنَفْسِكَ
Tenangkan hatimu
dari urusan tadbir kerana apa yang diatur oleh selain-mu tentang urusan dirimu,
tidak perlu engkau campur tangan.
Kita
bertauhid melalui dua cara, pertama bertauhid dengan akal dan keduanya
bertauhid dengan hati. Bidang akal ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas,
bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting.
Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada
perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya
atau penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya berubah-ubah
menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada mulanya
dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang awam
yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh mengalami kekeliruan dan
kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah mengganggu fikiran ialah soal
takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini diperbahaskan hingga kepada
yang halus-halus seseorang akan menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu
mengadakan jawapan yang konkrit. Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas
ilmu ialah membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak
menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada
tunduk dengan iman. Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke arah itu agar
iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama
nafsu dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri
secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam
perkara ghaib. Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata
hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah
kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban.
Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk
melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh
kerana roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila
sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua
langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah
Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan
keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah
dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang
hari pertemuan, - ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Dan
demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh
(yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui
(sebelum diwahyukan kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga
mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang
menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi
petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang
memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah
jualah kembali segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Apabila
cahaya roh berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang
ghaib. Penyaksian mata hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan
sebenar-benarnya.
Allah
s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Dia berfirman: Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan
nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk
kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )
Umat
Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan
nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin
juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah
s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredaan Allah s.w.t untuk
tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut
landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang lengkap
mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin. Islam telah
menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat, bagaimana mahu
bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu melakukan apa-apa.
Segala peraturan dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil
hingga kepada yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara
berhubungan sesama manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan
membelanjakan harta, cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara
memasuki jamban, cara hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara
menyempurnakan mayat dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat
Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
Segala penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada
Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya
nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai
nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang
telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak
Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak
dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau
membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk
kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka
yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah
dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya.
Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada
masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang
kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang
yang mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan
Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak
membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut
apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh
Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir
sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur
dalam urusan-Nya.
Mungkin
timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran,
tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki
kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa
tadbir?
Allah
s.w.t menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka
Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa
tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda
yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah
Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat
mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki
oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa
yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di
atasnya yang lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan
kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana
gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi
Yusuf a.s, dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya,
Bunyamin, tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur
oleh Nabi Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang
mengatur muslihat tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang
pada zahirnya dibina oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t
mengatakan kapal itu adalah kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran
mengenai tadbir yang dilakukan oleh manusia.
Rasulullah
s.a.w sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir
kehidupan mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir
yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal
dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan.
Janganlah seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir
maka otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya
ilham yang diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t
yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah
fikiran kepada otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah
tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan
penapis untuk mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang
salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah
s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang
demikian seseorang mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah
s.w.t kepadanya menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak
sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur.
Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa
kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t.
Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib
tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam
tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t
Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam
urusan-Nya
Tidak ada komentar:
Posting Komentar